Khamis, 16 Jun 2011

Solat Dhuha

SOLAT DHUHA DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN DAN DIMURAH REZEKI.

Pendapat jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat Duha hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sementara Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

Sunnah ditinggalkan Baginda Rasulullah ini elok dijadikan amalan bertepatan hadis yang bermaksud: “Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad SAW telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 hari bulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Duha dan juga mengerjakan solat witir sebelum aku tidur.”

Setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah dengan syarat ikhlas dan menepati syariat serta istiqamah yang berterusan. Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat tersendiri.

Cuma jangan pula hikmah dan fadilat ini dijadikan sebagai matlamat pula. Dibimbangi menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri. Amalan sunat adalah cara kita sebagai hamba yang lemah mendekatkan diri kepada Allah.

Namun, ada nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Duha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

Solat ini juga adalah tanda kesyukuran hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi dilaluinya. Justeru, Duha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih hamba kepada Penciptanya.

Umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini yang sebaik-baiknya dilakukan di rumah supaya dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jika di tempat kerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya empat hingga lima minit. Jadi, apalah jika amalan ini dibudayakan.

Baginda SAW tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan Aishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mendirikan sembahyang sunat Duha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Duha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesuai dengan namanya Duha yang bermaksud pagi, jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan hadis Nabi SAW yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah SAW menjelaskan:

“Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”

Imam Nawawi menghuraikan masa itu sebagai masa berlalunya seperempat siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang. (Kitab al-Majmu karangan Imam Nawawi)

Rakaat solat sunat Duha yang masyhur dalam kalangan ulama adalah paling minimum dua rakaat saja dan bilangan maksimum adalah lapan rakaat. Cuma ada sebilangan ulama mencadangkan bilangan paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah menjelaskan Nabi SAW melakukannya sebanyak empat rakaat.

petikan dari blog : resepi rahsia ku

Selasa, 8 Februari 2011

Adab Memasuki Rumah Baru

Adab-adab memasuki rumah baru secara khusus, tidak pula diperincikan didalam Islam. Namum demikian, terdapat amalan-amalan yang digalakkan kepada orang-orang Islam melakukannya yang dikategorikan sebagai ZIKIR kepada Allah apabila melangkah masuk kedalamrumah. Amalan-amalan ini sebagai contoh:

a. Memberi salam ketika masuk ke rumah.

فَإِذَا دَخَلْتُمْ بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
“Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.” – [Al-Nur 24:61]

Kita digalakkan memberi salam semasa masuk kedalam rumah.

b. Membaca Ayat Al-Kursi semasa didalam rumah bagi tujuan menghalau syaitan

وعن أبي هريرة أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال: سورة البقرة فيها آية سيدة آي القرآن لا تقرأ في بيت فيه شيطان إلا خرج منه: آية الكرسي وكذا

Diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah saw bersabda :’Didalam surah Al-Baqarah ada ayat yang merupakan penghulu Al-Quran, Tidak dibaca didalam rumah, kecuali akan keluar Syaitan dari [rumah]nya : Ayat Al-Kursi’ – Hadith ini juga diriwayatkan dari Isnaad lain, dari Zaa’idah dari Hakim ibn Jubayr, Kemudian dia berkata, Isnaad in Sahih walaupun mereka (Al-Bukhari dan Al-Muslim) tidak meriwayatkannya.

c. Membaca beberapa do’a yang disunatkan membacanya.

Ibnu Utsaimin apabila ditanyakan mengenai do’a yang boleh dibaca ketika memasuki rumah baru, beliau mencadangkan agar :

Apabila seseorang itu memasuki rumah bagi kali yang pertama, ia harus berkata :

أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق

(‘Auzdhu bi kalimaat-Illaah it-taammaati min sharri ma khalaq.)
“Aku memnohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhluknya”

Dia juga boleh berkata :

رَبِّ أَنْزِلْنِي مُنْزَلًا مُبَارَكًا

(Rabbi anzilni munzalan mubaarakan)
“Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat ” al-Mu’minun 23:29]

d. Menyediakan jamuan atau Wakeerah – menjemput jiran baru

Mengenai persoalan pindah rumah baru, Dr. Abdul Fattah Ashour, Professor Ulum Al-Quran di Al-Azhar berkata :

“Berpindah ke rumah baru merupakan satu kegembiraan dan kesyukuran. Anda digalakkan oleh sunnah menyediakan makanan yang panggil ‘Wakeerah’ dan menjemput jiran-jiran baru agar anda berpeluang bergaul dengan kenalan baru dan akan merapatkan hubungan ukhwah dikalangan kamu. Ini juga dapat membantu anda menyerap kedalam suasana baru dengan mudah.

Anda juga digalakkan membaca do’a-do’a yang telah diajar oleh Nabi saw, yang biasa dibaca apabila masuk kedalam rumah, samada iarumah baru atau pun tidak”

Begitulah serba sedikit amalan-amalan yang digalakkan kita membaca semasa memasuki rumah secara umum, samada baru ataupun yang lama. Menyediakan jamuan bagi tujuan menjalinkan silatul rahim adalah digalakkan demi mewujudkan kesinambungan didalam hubungan sosial dengan masyarakat setempat. Islam amat perihatan dari segi menjaga hubungan diantara JIRAN-JIRAN. Walau apa sekalipun bentuk amalan fizikal, Umat Islam digalakkan berdo’a bagi manifestasikan kesyukuran, memohon keselamatan dan perlindungan dari Allah swt.

Rabu, 15 Disember 2010

Adab Minum Rasulullah S.A.W

Oleh : Markisa Razak

Rasulullah SAW amat menyukai minum madu yang dicampur dengan air sejuk. Amalan ini untuk tujuan amalan kesihatan. Rasulullah SAW juga suka minum air sejuk dan mencicip madu sebelum makan apa-apa diwaktu pagi.

Antara khasiat amalan-amalan ini ialah:

1. Menghilangkan balqham (kahak/lendir)
2. Mencuci perut
3. Membuang sisa-sisa makanan yang tertinggal didalam perut yang tidak
dicernakan dengan sempurna dan menolaknya ke usus besar
4. Menghapuskan sukatan dalam usus, menghilangkan senak perut dan sedu
5. Memperbaiki fungsi buah pinggang, limpa dan hati.

Rasullah SAW suka minum air yang telah disimpan semalaman didalam suatu bekas.

Minuman Manis dan Sejuk

Aisyah (ranha) meriwayatkan bahawa: " Diantara banyak-banyak jenis minuman, Rasulullah saw suka minuman manis dan sejuk"

Hadis bermaksud, baginda mengemari minuman manis dan sejuk, campuran madu atau nabiz (rendaman buah tamar).

Didalam suatu doa Rasullah ada menyebut " Ya Allah kurniakanlah aku dengan cintaMu yang lebih besar dari cintaku kepada nyawa, harta,anak dan cintaku kepada air sejuk"

Ini memberi isyarat bahawa sudah tentu minuman air sejuk itu mempunyai khasiat yang lebih besar. Adapun minuman jika terkumpul didalamnya kemanisan dan kesejukan akan menjadi asbab yang paling bermanfaat untuk penjagaan kesihatan tubuh badan Ini sekali gus berperanan bahan pemakanan dan mencernakan makanan yang masuk kedalam tubuh lalu menyalurkannya keseluruh anggota badan.

Ringkasan adab minum :

1. Gelas atau cawan hendaklah dipegang dengan tangan kanan
2. Bacalah " Bismillah"
3. Minum dengan tiga nafas
4. Minum dalam keadaan duduk
5. Jangan bernafas kedalam air. Setiap kali berhenti minum arahkan pernafasan ketempat lain.
6. Setiap kali berhenti minum (pada setiap penafasan) bacalah Alhamdullilah
7. Jika tidak ada tempat untuk duduk adalah diharuskan minum sambil berdiri
8. Jangan terus minum selepas selesai mengerjakan kerja-kerja berat.
9. Minum dari baki air yang telah diminum oleh orang lain, Hadis menyatakan bahawasaki baki air minuman seseorang Islam adalah ubat untuk penyakit.

Isnin, 15 November 2010

WUKUF DI ARAFAH


15 November 2010 / 09 Zulhijjah 1431

Kerajaan Arab Saudi telah mengisytiharkan, hari ini adalah hari wuquf di Arafah.semua umat Islam yg sedang mengerjakan ibadah haji kini telah berada di Padang Arafah untuk ber wuquf.

Bermula dari semalam , dua juta umat Islam telah bergerak keluar secara beramai-ramai dari kota Mekah untuk berhimpun di Padang Arafah sebagai persiapan menghadapi hari paling penting dalam ibadat haji iaitu hari wuquf.

WUQUF bermaksud berada di bumi Arafah walaupun satu saat sekalipun dari masa gelincir matahari kesembilan Zulhijjah hingga terbit matahari kesepuluh Zulhijjah. Seelok eloknya berada di sana sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh.
wuquf ini menggambarkan bagaimana perhimpunan manusia yang paling ramai di dunia dengan seramai 2 juta orang. wuquf ini menggambarkan perhimpunan manusia di Padang Mahsyar nanti.. di Arafah adalah salah satu tempat mustajab kita berdoa.. wuquf ini juga membezakan antara mengerjakan haji dan umrah...

wuquf merupakan kegiatan yang tidak boleh ditinggalkan oleh seseorang yang melakukan ibadah haji, kerana ini adalah salah satu daripada Rukun Haji, dan rukun merupakan salah satu perkara penting yang sama sekali tidak dapat ditinggalkan, dan jika ditinggalkan maka haji seseorang menjadi tidak sah. Seseorang yang uzur , sakit, ataupun tidak dapat berjalan, harus juga dibawa ke Arafah untuk melakukan wuquf, walau wuquf nya dalam keadaan apa sekalipun.



Petikan dari blog PDKM - Terima Kasih CL
15 November 2010 / 09 Zulhijjah 1431

Ahad, 14 November 2010

Kelebihan Zulhijjah

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.

Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)

Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)


Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir.

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa.

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban.

Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain.

Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.

Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.”

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).

Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama).” (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.

Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah)

Petikan : Harian Metro