Khamis, 16 Jun 2011

Solat Dhuha

SOLAT DHUHA DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN DAN DIMURAH REZEKI.

Pendapat jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat Duha hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sementara Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

Sunnah ditinggalkan Baginda Rasulullah ini elok dijadikan amalan bertepatan hadis yang bermaksud: “Junjunganku tercinta, Nabi Muhammad SAW telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 hari bulan daripada bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Duha dan juga mengerjakan solat witir sebelum aku tidur.”

Setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah dengan syarat ikhlas dan menepati syariat serta istiqamah yang berterusan. Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat tersendiri.

Cuma jangan pula hikmah dan fadilat ini dijadikan sebagai matlamat pula. Dibimbangi menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan lahir daripada rasa keinsafan diri. Amalan sunat adalah cara kita sebagai hamba yang lemah mendekatkan diri kepada Allah.

Namun, ada nas hadis nabawi yang menggesa umatnya melakukan amalan solat sunat Duha dengan disebutkan fadilatnya bagi menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

Solat ini juga adalah tanda kesyukuran hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi dilaluinya. Justeru, Duha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih hamba kepada Penciptanya.

Umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini yang sebaik-baiknya dilakukan di rumah supaya dapat dikerjakan dengan lebih sempurna. Jika di tempat kerja, lakukan dengan menggunakan masa yang sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana (baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya empat hingga lima minit. Jadi, apalah jika amalan ini dibudayakan.

Baginda SAW tidak melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan Aishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mendirikan sembahyang sunat Duha. Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Duha walaupun Rasulullah meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan ke atas diri mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesuai dengan namanya Duha yang bermaksud pagi, jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan hadis Nabi SAW yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah SAW menjelaskan:

“Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”

Imam Nawawi menghuraikan masa itu sebagai masa berlalunya seperempat siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang. (Kitab al-Majmu karangan Imam Nawawi)

Rakaat solat sunat Duha yang masyhur dalam kalangan ulama adalah paling minimum dua rakaat saja dan bilangan maksimum adalah lapan rakaat. Cuma ada sebilangan ulama mencadangkan bilangan paling afdal iaitu empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah menjelaskan Nabi SAW melakukannya sebanyak empat rakaat.

petikan dari blog : resepi rahsia ku