Rabu, 9 November 2011

damaikan jiwa dengan zikrullah

Ibadah yang khusyuk akan mendatangkan kedamaian kepada jiwa seseorang dan kedamaian ini akan lebih mendekatkannya kepada Allah sehingga akhirnya timbullah kelazatan dan keenakan ketika beribadah. Ketika itu, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan sebarang tekanan yang melanda hati. Di antara ibadah yang boleh mendamaikan hati ialah zikrullah.

Sehubungan dengan ini Allah berfirman: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” (Ar-Ra’d 13:28)

Pada suatu ketika, seorang lelaki telah mendatangi sahabat Abdullah ibn Masud r.a. dan berkata: “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut kemusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.”

Abdullah ibn Masud r.a. telah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang sedang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Lelaki itupun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya telah berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.