Jumaat, 28 Oktober 2011

puasa hari arafah


Puasa sunat pada hari Arafah. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim). Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.


* Sabda Nabi S.A.W: “Pada hari Arafah, Allah akan menurunkan limpahan rahmatNya, itulah hari paling banyak Allah membebaskan hamba-hambaNya (daripada api neraka). Sesiapa yang memohon sesuatu hajat kepada Allah pada hari Arafah sama ada hajat dunia mahupun akhirat nescaya Allah akan mengurniakannya. Puasa hari Arafah menghapuskan (dosa-dosa kecil) tahun yang lalu dan tahun akan datang”.


10 hari pertama Zulhijjah : amalan utama yang digalakkan

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan, keampunan dan pahala amalan.

1. Zikir: Iaitu memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

2. Berpuasa: Amat digalakkan berpuasa pada 1-9 Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi bersabda: "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah." (Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w. juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

5. Bertakbir: Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Ali k.w. menunjukkan bahawa permulaan takbir iaitu bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tashriq.

6. Menyembelih korban.