Selasa, 15 Disember 2009

Persediaan Hadapi Hari Wukuf

Khemah Di Arafah

Persediaan hadapi hari Wukuf

Pada 8 Zulhijjah, umat Islam akan bergerak keluar secara beramai-ramai dari kota Mekah untuk berhimpun di Padang Arafah sebagai persiapan menghadapi hari paling penting dalam ibadat haji iaitu hari Wukuf.

Pada hari Wukuf, 9 Zulhijjah jemaah haji pada mulanya akan berhimpun di Padang Arafah selama separuh hari sebelum ke Muzdalifah. Di Muzdalifah pula, jemaah dikehendaki berada di kawasan itu sekurang-kurangnya beberapa jam termasuk mengutip batu-batu kecil bagi membuat lontaran jamrah di Mina.

Di Mina, jemaah akan tinggal lebih lama iaitu tiga hari pada hari-hari tasriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Apabila memperkatakan mengenai ibadat haji, hari Wukuf dianggap hari-hari paling mencabar bagi menguji daya ketahanan para jemaah sama ada dari mental, fizikal atau spritual.

Nabi Muhammad SAW bersabda, ‘‘Haji itu adalah wukuf.” Hal ini memperlihatkan betapa pentingnya hari wukuf.

Di Padang Arafah iaitu kawasan suci yang doa kita mudah diangkat ke langit.Di kawasan itu, setiap jemaah dinasihatkan agar perlu sentiasa menjaga perbuatan, tutur kata, apa yang diniat dalam hati kerana biasanya ia cepat ditunjukkan oleh Tuhan.

Di Arafah, tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad mengambil masa lama untuk berdoa.

Secara amaliah pula, jelas beliau, wukuf di Arafah mencerminkan puncak penyempurnaan haji seseorang.

Di Arafah, Rasulullah pernah menyampaikan khutbahnya yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ini kerana tidak lama kemudian setelah menyampaikan khutbah itu, baginda wafat. Pada saat itu, ayat al-Qur’an, surat al-Maa’idah ayat 3 turun sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW.

Allah berfirman, “Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu….” (al-Maa’idah:3)

Wukuf di padang Arafah juga adalah untuk mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis.

Nabi Adam dan Hawa telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali. Tempat pertemuan mereka adalah di Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah SWT.

Melihat kepada peristiwa-peristiwa penting itu, dapat difahami kenapa Arfah begitu penting dalam ibadat haji dan di situ para jemaah digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, solat sunat, membaca al-Quran, bermunajat dan berdoa. Berdoa di Arfah dikatakan mudah dimakbul doa seseorang. Kerana itu, nabi-nabi menjadikan Arfah sebagai saluran memanjatkan doa kepada Tuhan.

Mengikut pengertian wukuf di Arafah bererti berhenti seketika di padang luas itu. Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik. Ini adalah peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa,pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

Di Arafah, semuanya sama. Orang miskin, kaya, berpangkat atau tidak, semuanya sama. Mereka memakai pakaian tidak berjahit berwarna putih seperti kain mengkafankan orang mati dan duduk di khemah-khemah dalam persekitaran panas terik selama beberapa hari.

Di Arafah para jamaah digalakkan merenungi perbuatan-perbuatan dosanya yang lalu dan bertaubat agar Tuhan mengampunkan segara dosanya.: Bentangkan dosa-dosamu di padang Arafah ini, ingatlah satu persatu dosa-dosa yang pernah engkau lakukan, ingatlah betapa waktumu selama ini habis terbuang sia-sia karena lebih banyak digunakan untuk memperindah kehidupan duniamu.

Pengakuan yang jujur dan ikhlas, tanpa rasa sombong dan takabur, di hadapan Allah adalah puncak amaliah haji. Itulah Arafah, wukuf kita adalah untuk mendefinisikan hakikat keberadaan kita di hadapan Allah, sekalipun sebenarnya Allah telah mengetahui itu semua.

Allah SWT gembira melihat hamba-Nya yang mengunjungi Arfah. Pandanglah langit Arafah. Renungilah bahawa pada hari yang mulia itu Allah SWT sedang memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan umatnya yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatnya di langit.

Allah SWT berfirman bahawa: “Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang ke sini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku.”

Tuhan juga sangat memuliakan hari wukuf di Arafah. Pada hari itu, Allah mendekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang wukuf di Arafah untuk mendengarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang berada di Arafah. Dengan bangga Allah bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu?“

‘‘Pada hari itu, Allah gembira sekali jika kita berdoa kepada-Nya. Ia mengabulkan semua doa mereka di sana, sebagaimana sabda Rasullullah SAW, “Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah.”

Bahkan Allah murka ketika manusia tidak yakin dosanya diampunkan di Arafah, seperti sabda Rasullullah SAW, “Yang paling besar dosanya di antara manusia adalah seseorang yang berwukuf di Arafah lalu berprasangka bahawa Allah tidak memberinya ampun.”

Demikian mulianya hari Arafah ini di sisi Tuhan, walaupun tempoh masa wukuf hanya beberapa jam saja. Para jemaah haji perlu menggunakan sepenuh peluang yang ada untuk memohon keampunan dan berdoa kepada Tuhan di Padang Arfah kerana berdoa di situ disaksikan dari dekat oleh Allah SWT dan dibangga-banggakan-Nya kita di depan para malaikatnya.

Firman Allah SWT, “Hai malaikat-Ku! Apa balasan (bagi) hamba-Ku ini, ia bertasbih kepada-Ku, ia bertahlil kepada-Ku, ia bertakbir kepada-Ku, ia mengagungkan-Ku, ia mengenali-Ku, ia memuji-Ku, ia bershalawat kepada nabi-Ku. Wahai para malaikat-Ku. ‘‘Saksikanlah, bahwasanya Aku telah mengampuninya, Aku memberi syafaat (bantuan) kepadanya. Jika hambaku memintanya tentu akan Kuberikan untuk semua yang wukuf di Arafah ini.”

Di Arfah, jemaah dinasihatkan supaya jangan sekali-kali berharap nasib mereka ditentukan oleh manusia lain bagi mengelak daripada kemurkaan Allah SWT dan Tuhan lebih mengetahui termasuk apa yang terlintas dalam hati manusia.

Allah ampunkan dosa bagi mereka yang mengerjakan haji tanpa buat perkara fasik dan keji, maka dia pulang selepas itu seperti baru dilahirkan oleh ibunya. Selain itu, haji mabrur tiada balasannya bagi mereka selain syurga.

MINGGUAN MALAYSIA