Sabtu, 28 November 2009

PANDUAN MENGERJAKAN HAJI DAN UMRAH

CARA MENGERJAKAN HAJI TAMATTU'

Mengerja haji cara tamattu' bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.


A. MENGERJAKAN UMRAH

Persiapan sebelum berihram umrah.

Sebelum berihram umrah para jemaah hendaklah menyempurnakan perkara-perkara sunat berihram iaitu :-

1. Mengerat kuku
2. Mengandam/merapikan janggut, menggunting rambut dan mengemas misai.
3. Menanggalkan bulu ketiak, ari-ari dan sebagainya.
4. Seterusnya disunatkan mandi sunat ihram. (shj aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala)
5. Selesai mandi, ambillah wuduk.
6. Memakai wangi-wangian pada badan.
7. Memakai kain ihram berwarna putih.
8. Mendirikan solat sunat ihram 2 rakaat.
(sahaja aku sembahyang sunat ihram dua rakaat kerana Allah Taala
Rakaat Pertama: membaca al Fatihan dan Surah al-Kafirun.
Rakaat Kedua : Membaca al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas)

Bagi yang memasuki Madinah dahulu sebelum ke Mekah persiapan ini hendaklah dilakukan di Madinah. Manakala yang terus memasuki Mekah dari tanah air, persiapan ini dilakukan sebelum menaiki pesawat ketanah suci.


1. NIAT UMRAH (RUKUN)

Selepas sunat ihram, jemaah bolehlah berniat ihram umrah. Niat ini hendaklah dilakukan sama ada ketika berada di Miqat iaitu Zul Hulaifah / Bir Ali bagi yang memasuki Mekah dari Madinah dan Qarnal Manazil bagi yang memasuki Mekah dari tanah air atau sebelum melintas miqat-miqat tersebut. (lafaz niat Umrah : "Sahaja aku mengerjakan Umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala")

Setelah berniat ihram umrah, disunatkan memperbanyakkan ucapan talbiah. Ucapan talbiah hendaklah diulang-ulang sehingga mengerjakan tawaf. Disamping itu disunatkan memperbanyakkan doa dan zikrullah.

2. TAWAF (RUKUN)

Ketika hendak memulakan tawaf berdirilah mengadap kaabah di antara Rukun Yamani dan Rukun Hajarul Aswad. Kemudian berjalanlan secara mengkirikan Bailullah, apabila berada di Rukun Hajarul Aswad sunat berniat Tawaf Umrah (Lafaznya : "Ya Allah, sesungguhnya aku hendak mengerjakan Tawaf Baitullah al-Haram tujuh keliling Tawaf Umrah kerana Allah Taala")

Setelah itu kucuplah Hajarul Aswad jika mampu. Jika tidak mampu lakukan istilam atau memadai sahaja dengan isyarat tangan ke arah Hajarul Aswad dan mengucup tangan sebelum melakukan tawaf. Kucuplah tapak tangan dan terus tawaf mengelilingi kaabah. Dari Rukun Hajarul Aswad ini tawaf dikira bermula dan hendaklah dilakukan sebanyak tujuh pusingan bermula dan berakhir si sini.

Semasa melambai tangan kearah Hajarul Aswad atau Rukun Yamani, pastikan bahu sentiasa pada setiap pusingan mengirikan Kaabah. Jemaah lelaki disunatkan beridtiba' dan ramal (berlari-lari anak) ketika menunai tawaf umrah. Ketika melalui Rukun Yamani sunat istilam tetapi jika sukar memadai dengan isyarat tangan.

Apabila sampai pada rukun Hajarul Aswad kembali melakukan lambaian tangan dan mengucupnya seperti permulaan tawaf. Begitulah sehingga cukup 7 pusingan tawaf.


Solat Sunat Tawaf


Setelah selesai tawaf, tunaikan solat sunat tawaf dua rakaat di belakang Makam Ibrahim. Jika tidak dapat, solatlah dalam lingkungan Hijr Ismail di bawah pancuran emas. Jika tidak dapat, solatlah berhampiran dengan Baitullah atau mana-mana bahagian dalam Masjidil Haram.

Lafaz niat solat sunat tawaf : "Sahaja aku solat sunat tawaf kerana Allah Ta'ala.
Rakaat Pertama : Surah al-Fatihah dan Surah al-Kafirun
Rakaat Kedua : Surah al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas.
Kemudian berdoa.


Berdoa di Multazam

Selesai solat di belakang makam Ibrahim dan berdoa, disunat pula berdoa di Multazam iaitu di satu ruang di antara pinti kaabah dengan Hajarul Aswad. Multazam adalah satu tempat yang mustajab doa.

Minum Air Zamzam

Sunat meminum air zamzam sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasullah :
Sebaik-baik air di bumi ini ailah air zamzam, ia mengenyangkan dan menyembuhkan penyakit. Riwayat al-Tabrany dalam al-Kabir

Sunat membaca doa ketika meminum air zamzam:
"Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepada Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan penawar segala penyakit"


3. SA'IE (RUKUN)

Setelah minum air zamzam, berjalanlah menuju Bukit safa untuk melakukan Sa'ie (rukun umrah yang ketiga). Setelah sampai di Bukit Safa mengadaplah ke Baitullah (Kaabah) dan sunat berniat untuk melakukan Sa'ie Umrah.

Lafaz niatnya : "Ya Allah, sesungguhnya aku hendak Sa'ie antara Safa dan Marwah, tujuh kali Sa'ie Umrah kerana Allah Taala"

Kemudian angkatlah kedua-dua belah tangan sambil mengadap ke arah Baitullah dengan bertakbir. Setelah itu, berjalanlah menuju ke Bukin Marwan mengikut jalan sehala sebelah kanan.

Apabila sampai di kawasan lampu hijau yang tidak jauh dari Bukit Safa sunat berlari-lari anak untuk jemaah lelaki. Selepas kawasan lampu hijau itu berjalanlah terus ke Bukit Marwah. Ini bererti telah sempurna satu pusingan.

Untuk memula pusingan kedua hendaklah mengadap kearah Baitullah sambil bertakbir. Setelah itu berjalanlah ke Bukit Safa pula untuk kali kedua sambil membaca doa sa'ie yang kedua seterusnya berlari-lari anak bagi lelaki apabila sampai kekawasan lampu hijau

Demikianlah dilakukan tujuh kali pergi balik dan tamatnya pada kali ketujuh di Bukit Marwah dengan membaca doa tamat Sa'ie''

4. BERCUKUR ATAU BERGUNTING (RUKUN)

Untuk tahallul Umrah di wajib menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai dan sunat dilakukannya di Bukit Marwah.Yang afdalnya bagi lelaki adalah bercukur.


5. TERTIB (RUKUN)

Mengerjakan rukun umrah mengikut susunannya satu demi satu.

Dengan ini selesailah ibadah umrah. Kemudian bolehlah menanggalkan pakaian ihram dan kembali kepada keadaan biasa, yakni bebas daripada pantang larang semasa dalam ihram.

Jemaah yang telah selesai menunaikan umrah wajib, boleh menunaikan umrah sunat beberapa kali mengikut kemampuan.


B. MENGERJAKAN HAJI

Sebelum mengerjakan ibadat Haji, para jemmah hendaklah menastikan yang amalan umrahnya telah sempurna. Kebiasaannya pada tanggal 8 Zulhijjah pAara jemaah akan berangkat ke Arafah.

1. NIAT HAJI (RUKUN)

Setelah menunaikan solat sunat ihram, jemaah hendak berniat ihram sebelum pergi ke Arafah untuk berwuquf. Jemaah boleh berniat dimana-mana tempat di kawasan Tanah Haram tetapi seelok-eloknya ditempat penginapan masing-masing.

LAFAZ niat haji ; SAHAJA AKU MENGERJAKAN HAJI DAN AKU BERIHRAM DENGANNYA KERANA ALLAH TAALA.

Setibanya di Arafah, jemaah haji ditempatkan di khemah masing-masing. Jemaah haji hendaklah merehatkan diri dam memperbanyakan zikrullah sementara menanti waktu wuquf.


2. WUQUF (RUKUN)

Keesokkan harinya, pada 9 Zulhijjah, setelah tergelincirnya matahari atau masuk sahaja waktu Zohor tibalah masa Wuquf.

Sebelum masuknya waktu Zohor hari 9 Zulhijjah, jemaah haji dikehendaki bersiap sedia dengan wuduk untuk Solat Zohor dan seterusnya berwuquf. Disini kita hendaklah memperbanyakkan ibadat seperti solat, membaca al-Quran, berzikir, bertahlil, bertasbih dan membaca doa-doa khasnya doa Wuquf di Arafah. Di Arafah adalah tempat yang mustajab doa kita.

a. Mabit di Muzdalifah (wajib)

Kebiasaan jemaah haji akan bertolak ke Muzdalifah selepas wakyu Maghrib. Mabit di Muzdalifah bermula dari selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga terbit fajar. Berada di Muzdalifah walaupun seketika pada waktu tersebut dikira telah menunaikan kewajipan mabit di Muzdalifah. Tetapi yang afdalnya berada di Muzdalifah sepanjang malam hingga terbit fajar.

Di Muzdalifah jemah hendaklah beribadatdengan berzikir, doa dan membaca al Quran. Jemaah juga disunatkan mengutip 7 biji anak batu untuk melontar di Jamrah Kubra di Mina nanti.

Selepas separuh malam di Muzdalifah, para jemaah akan bertolak ke Mina. Di Mina jemaah akan ditempatkan di khemah masing-masing.

b. Melontar Jamrah Kubra.

Waktu melontar Jamrah Kubra adalah bermula dari selepas separuh malam 10 Zulhijjah hinggalah terbenamnya matahari 13 Zulhijjah. Biasanya jemaah akan dibawa melontar Jamrah Kubra pada malam 11 Zulhijjah bagi mengelak kesesakan.

Para jemaah hendaklah memastikan telah menyempurna lontaran sebanyak 7 biji anak batu di Jamrah Kubra dengan memenuhi syarat-syaratnya

3. BERCUKUR ATAU BERGUNTING

Selepas melontar 7 biji anak batu di Jamrah Kubra jemaah bolehlah bercukur atau menggunting rambut untuk bertahallul Awal. Setelah bercukur, bolehlah menanggal pakaian ihram dan boleh melakukan semua yang dilarang didalam ihran kecuali bersetubuh, mukadimah bersetubuh, berkahwin, menjadi wali atau menjadi wakil kahwin.

Tahallul yang terhasil selepas melontar di Jamrah Kubra dan bercukur dinamakan Tahallul Awal. Manakala Tahallul Thani terhasil selepas Tawaf dan Sa'ie rukun atau selepas Tawaf Rukun bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad atau Qiran sekiranya ia telah Sa'ie Haji setelah Tawaf Qudum dahulu.

c. Mabit di Mina (Wajib)

Dilakukan pada malam-malam Hari Tasyriq. Jemaah yang tinggal di luar Mina pada siang hari, mereka hendaklah memastikan mereka mabit di Mina lebih daripada separuh malam pada malam-malam berkenaan. pada Hari Tasyriq, jemaah disunatkan melakukan korban di Mina.

d. Melontar ketiga-tiga Jamrah (Wajib)

11 Zulhijjah - melontar Jamrah Sughra 7 biji, Jamrah Wusta 7 biji dan Jamrah Kubra 7 biji.
12 Zulhijjah - melontar Jamrah Sughra 7 biji, Jamrah Wusta 7 biji dan Jamrah Kubra 7 biji.
Jika memilih untuk Nafar Awal, bolehlah balik ke Mekah dengan syarat-syaratnya. Jika tidak, wajiblah melontar ketiga-tiga jamrah pada keesokkan harinya (13 Zulhijjah) dengan 7 biji batu pada tiap-yiap jamrah.

4. TAWAF (RUKUN)

Jamaah yang memilih Nafal Awwal akan balik ke Mekah 12 Zulhijjah, manakala yang memilih Nafal Thani akan balik ke Mekah pada 13 Zulhijjah. Kemudian hendahlah mengerjakan tawaf (sama cara mengerjakannya seperti tawaf umrah).

Lafaz niat tawaf : Ya Allah, sesungguhnya aku hendak mengerjakan tawaf Baitullah al-Haram tujuh keliling bagi tawaf haji kerana Allah Taala.

5. SA'IE (RUKUN)

Selepas selesai tawaf, hendaklah mengerja Sa'ie Haji. Caranya sama dengan Sa'ie Umrah.

Lafaz niat Sa'ie Umrah : Ya Allah, Ya Tuhanku, sesungguhnya aku hendak mengerjakan sa'ie di antara Safa dan Marwah tujuh kali Sa'ie Haji kerana Allah Taala.

Jemaah yang telah melakukan Tahallul Awwal dengan melontar Jamrah Kubra dan bercukur atau bergunting tidak perlu bercukur /bergunting lagi selepas Tahallul Thani (kedua).

Jemaah yang tidak bertahallul Awwal seperti diatas, mereka bolehlah bercukur / bergunting rambut sebelum atau selepas mengerjakan Tawaf dan Sa'ie rukun untuk menghasilkan Tahallul Awwal

Selesai Tahallul Thani mereka halal melakukan semua perkara yang di larang semasa dalam ihram.

6. TERTIB PADA KEBANYAKAN RUKUN (RUKUN)

Apabila selesai kerja-kerja ibadat haji yang dilakukan dengan tertib itu, maka sempurnalah ibadat haji Tamattu' Semuga Allah menerima segala amalan yang dikerjakan dengan mendapat haji yang mabrur.

PERINGATAN : Perlu diingatkan bahawa jemaah yang mengerja Haji Tamattu' dikenakan dam Tertib dan Taqdir.

Catatan semasa Kursus Mingguan Ibadat Haji di Masjid Tuan Abdullah, Tanah Liat ,Bukit Mertajam dan
petikan dari buku Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah- Tabung Haji.